Halaman

Pengikut

Assalamualaikum,
Apa khabar semua....Semua yang tersurat belum tentu itulah yang tersirat. Segala rasa hati belum tentu dapat di ekspresikan dengan hanya melalui penulisan, tapi sekurang-kurangnya dapatlah ianya menjadi penglipur lara dan tempat meluahkan rasa yang terpendam...


Isnin, April 18, 2011

Rindu

Aku menjadi kering disini
di bumi perantauan
dikepung rumah batu kongkrit
dan kebudayaan parah
hingga lupa hari dan tanggal.

Wajah-wajah tak pernah senyum
lintasan-lintasan kereta simpang siur
pejalan-pejalan bagai tergesa-gesa
lampu-lampu mengenangkan lembah kemiskinan iman
wanita-wanita menghimpitkan nafas kewarasan.

Aku menjadi kering disini
rindukan bumi asal
keramahan manusia dan nyanyian alam
kepercayaan kukuh dan nikmat kesyukuran
tahu batas hidup dan mati
tahu batas hitam dan putih.

Aku menjadi kering disini
berfikir dalam kemisterian rindu.


Karya : Nahmar Jamil.
Sumber : Antologi Puisi Titian Zaman.


Retak

Dalam kemerahan mentari senja
daun-daun kuning berkaparan dilaman
sedang mesra membunga segar di dada
retak hati ini dicumbu kenangan.

Hidup ini begitu susah terasa
kemboja pagi indah dipuja
tapi apalah teratai senja hanyut melara di muara
kelopak rapuh jatuh menimpa timbunan lara.

Duhai apalah mimpi hidup merana
kerana esok pasti menyiksa diri
bahang senja meragut luruh bunga pelita
musnah sudah bening rasa dilangit hati.

Peduli apa pada teruna yang membawa mesra
sedang keretakan masih melingkari hati
biarkan teruna menyongsong lalu merindu syurga
pada dara hatinya.

Ketika malam merangkak lesu ke ambang pagi
sinar bulan menimpa daun-daun jendela terbuka
teruna dara hatinya ungu dilapah rindu
sekali-sekala wajah terduga dalam kemanisan bicara.


Karya : Shamsudin Jaafar
Sumber : Antologi Puisi Titian Zaman.

Ahad, April 17, 2011

Dalam Perjalanan

Kucuba melupakan wajahmu
terlalu payah
dalam perjalanan semakin jauh
terasa kau tidak akan hilang
seakan bayang sendiri
mengejar kaki yang berlari
dari ruang ke ruang.

Dipulau mana akan berlabuh
entah
perjalanan ini tidak berniktah
seakan demikian
wajahmu
mengusik hati tidak henti-henti.

Kucuba juga
terlalu sukar
hingga hampir berakhir perjalanan ini
di muara
wajahmu terus ada.


Karya : Adi Badiozaman Tuah
Sumber : Antologi puisi Titian Zaman.

Kubunuh Cinta

Kubunuh cinta dalam hatiku
pisau tajam berkilau!
Darah merah memancut keluar
aku menjerit
ketawa dalam kepedihan.

Cintaku terkulai merah
menggigil kian lemah
dan pisau tajam berdarah
kulempar jauh-jauh
hilang dibalik malam.

Sudah kubunuh cintaku merah
darah mendidih pekat
aku senyum
aku tidak lagi
dibunuh oleh cintaku.



Karya : Anis Sabirin
Sumber : Antologi puisi Titian Zaman.